#SayaPejuang …adakah anda seorang pejuang???

Sahabat saya Ahyat sedang berkongsi tentang erti pejuang

Satu perkara yang dikongsikan dengan saya pada pagi ini adalah tentang perjuangan. Ramai yang menyebut tentang perjuangan, tetapi adakah mereka sedar apakah itu perjuangan?

Siapa itu pejuang?
Mengapa kita perlu jadi seorang pejuang?

Jawapan ringkas: Seorang pejuang tidak takut akan bahaya.

Seorang pejuang tidak akan menyerah kalah apabila keadaan menjadi sukar.
Bagaimana kita boleh ambil konsep ini dalam perniagaan? Ramai yang berpendapat 2016 adalah tahun yang sukar. Dengan kejatuhan nilai ringgit, kejatuhan harga minyak, peningkatan kos sara hidup, dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak jelas akan matlamat sudah tentu akan beralih arah dalam menjalankan apa juga perniagaan.

Tetapi seorang pejuang akan teruskan perjuangan mereka kerana ada sesuatu yang memberikan tenaga umpama dynamo di dalam badan. Mereka tidak akan keluar daripada masalah tersebut untuk mencari peluang yang lain, sebaliknya mereka akan terus memperjuangkan apa yang mereka perjuangkan selama ini, kerana mereka ada tujuan (Purpose). Tujuan inilah yang memberikan satu tenaga dari dalam – The BIG WHY.

Duit sebagai faktor motivasi?
Mungkin ramai menganggap duit adalah satu faktor motivasi. Saya bersetuju, tetapi saya tidak bersetuju sekiranya duit dianggap motivasi paling utama. Ungkapan ‘cash is king’ hanya benar dalam situasi-situasi tertentu.


Kita pelajari dalam sejarah, bagaimana tentera Melaka menjadi sangat lemah sehingga berjaya ditawan musuh. Sekiranya anda masih ingat salah satu faktor kejatuhan empayar Melaka pada ketika itu adalah disebabkan oleh tentera upahan (tentera Gurkha) yang bilangannya mungkin ramai. Mereka dibayar untuk mempertahankan negeri Melaka. Tetapi apabila bahaya menimpa, merekalah orang yang pertama melarikan diri, kerana nyawa mereka lebih berharga berbanding mempertahankan negeri Melaka yang kononnya berdaulat pada ketika itu.

Pejuang akan dikenang lebih lama mungkin selepas kita tiada

Perjuangan memerlukan pengorbanan
Cuba bayangkan parajurit-parajurit yang mempertahankan tanah air. Mereka berkorban harta dan nyawa untuk mempertahankan tanah air. Nabi dan para sahabat berhijrah kerana sebuah perjuangan. Meninggalkan harta, kemewahan dan kesenangan demi sebuah perjuangan. Mereka inilah yang diingati sehingga ke hari ini oleh generasi-generasi yang terkemudian. Inilah erti sebuah perjuangan.

Bayangkan anda bekerja atau berniaga hanya kerana wang ringgit. Apabila keadaan menjadi sukar, apa yang bakal anda lakukan? 
Dan bayangkan pula ada sesuatu yang anda ingin perjuangkan, dan dalam keadaan yang sangat sukar, apa pula yang bakal anda lakukan.

Kepimpinan adalah satu perjuangan
Seorang pemimpin mestilah mempunyai sesuatu yang ingin diperjuangkan. Namakan saya seorang pemimpin yang hebat, dan anda boleh lihat pasti ada sesuatu yang mereka perjuangkan. Salah satu definisi kepimpinan oleh Rajeev Peshawaria adalah ‘seorang pemimpin adalah seseorang yang mempunyai keinginan yang membara untuk mencipta masa depan yang lebih baik.’ (A leader is someone who has a burning desire to create a better future). Dan semasa kita memperjuangkan sesuatu pasti adanya rintangan (resistance) dan pemimpin yang baik adalah mereka yang dapat mengharungi segala rintangan yang bakal mereka tempuh. Sekiranya boleh saya simpulkan, setiap pemimpin perlulah menjadi seorang pejuang. Sekiranya tidak, mereka bukanlah pemimpin yang hakiki.

2016 – tahun yang mencabar? 
Jawapan saya… bagus. Biarlah mereka yang tidak ikhlas berjuang, yang hanya pentingkan wang ringgit keluar dari industri dan tinggallah mereka yang benar-benar ingin berjuang mempertahankan apa yang mereka ingin perjuangkan. Dan akhirnya pejuang-pejuang inilah yang akan menang!

Adakah anda seorang pejuang???

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *